Naib Presiden LDP David Ong berkata, calon PH yang mahu bertanding atas tiket GRS harus terlebih dahulu tinggalkan parti mereka dan sertai komponen GRS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang pemimpin komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, logo gabungan itu eksklusif untuk parti Sabah yang menganggotai GRS.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) David Ong berkata, calon Pakatan Harapan (PH) yang mahu bertanding atas tiket gabungan Sabah itu harus terlebih dahulu meninggalkan PH dan menyertai komponen GRS.
“Tindakan pihak yang kekal sebagai ahli parti politik Semenanjung bertanding di bawah panji GRS tidak selari dengan semangat dan identiti gabungan itu,” katanya, lapor Borneo Post.
“Logo GRS milik komponen GRS. Tiada individu atau parti politik luar patut anggap mereka berhak guna logo GRS semata-mata kerana ia mungkin beri kelebihan politik.”
Ong menambah, lambang GRS lebih daripada sekadar logo, sebaliknya ia mewakili aspirasi rakyat Sabah untuk memperoleh suara yang lebih kuat dalam mencorakkan masa depan negeri, serta menjaga hak-haknya di bawah perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“GRS mesti pegang teguh matlamat penubuhannya sebagai gabungan parti tempatan yang memperjuangkan hak, autonomi dan pembangunan Sabah.
“Rakyat Sabah sokong GRS kerana ia mewakili gerakan politik tempatan yang mengutamakan kepentingan Sabah,” katanya.
PH Sabah sebelum ini menafikan ada membincangkan penggunaan logo GRS pada PRU16, menyifatkan laporan berita berhubung dakwaan itu sebagai ‘mengelirukan’.
Ketuanya, Mustapha Sakmud dilaporkan menolak kemungkinan menggunakan logo GRS tetapi berkata, perkara itu belum dibincangkan secara rasmi dalam PH Sabah.


