Muafakat Nasional membabitkan Umno dan PAS terlerai selepas terbentuknya Perikatan Nasional. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang ahli majlis kerja tertinggi Umno berkata parti itu wajar berhati-hati, di sebalik spekulasi mengenai Muafakat Nasional (MN) 2.0.
Puad Zarkashi berkata demikian ketika menyentuh tentang perkembangan hubungan antara PAS dan Bersatu.
“Dalam politik ada yang suka kahwin mutaah. Boleh cerai bila-bila masa jika objektif tidak tercapai,” kata Puad Zarkashi di Facebook.
“Umno wajar berhati-hati,” tambahnya.
Spekulasi mengenai kemungkinan MN dihidupkan semula kerap timbul, terutama kini selepas PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
MN membabitkan Umno dan PAS dimeterai pada 2019 ketika Pakatan Harapan menerajui kerajaan persekutuan. Pakatan itu terlerai selepas PAS membentuk Perikatan Nasional bersama Bersatu pada tahun berikutnya.
Pada Selasa, Presiden Zahid Hamidi menolak sebarang kemungkinan menghidupkan semula MN antara Umno dan PAS, mengatakan pihaknya tiada niat dan tidak berhasrat untuk melakukan perkara itu.

