Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail melihat hasil karya murid pada majlis pelancaran bilik darjah dikuasakan AI di SMK Kuala Perlis. (Gambar YTSP)
PETALING JAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis menjadi sekolah pertama di Malaysia menerima pengiktirafan Google for Education Pre-Reference Institution Malaysia.
Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata pengiktirafan itu membuktikan kesediaan sekolah berkenaan mengamalkan standard pendidikan digital tinggi.
Katanya, pemilihan SMK Kuala Perlis sebagai satu-satunya sekolah di Perlis melaksanakan inisiatif AI-Powered Classroom mencerminkan keyakinan KPM terhadap keupayaan sekolah itu menerajui penggunaan teknologi digital dalam pendidikan.
“AI-Powered Classroom merupakan antara contoh terbaik bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran dan pemudahcaraan di bilik darjah,” katanya sempena pelancaran bilik darjah dikuasakan AI di SMK Kuala Perlis.
Majlis itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Inisiatif itu dijayakan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, SMK Kuala Perlis, Google for Education, Sasbadi Sdn Bhd, Micro Concept Tech dan Agrobank.
Pelaksanaannya turut dibantu sumbangan RM10,000 daripada Bahagian Teknologi Pendidikan KPM serta pembelian Chromebook bernilai RM161,000 oleh Agrobank.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Program Google for Education Pre-Reference Institution Malaysia antara SMK Kuala Perlis dan Google for Education.

