Umno yang menaungi Barisan Nasional menang 14 kerusi pada PRN Negeri Sembilan 2023.
PETALING JAYA: Dakwaan wujud rundingan menukar kerajaan Negeri Sembilan membabitkan Umno negeri itu membuka semula persoalan dan kepercayaan terhadap parti menjelang PRN, kata penganalisis politik.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, isu itu tidak boleh dianggap sebagai polemik biasa kerana ia berisiko mencetuskan krisis keyakinan terhadap parti jika gagal ditangani dengan baik.
Katanya, rakyat mungkin boleh memaafkan kesilapan politik, tetapi sukar menerima pemimpin yang gagal menjelaskan kedudukan mereka apabila timbul isu membabitkan integriti dan kejujuran politik.
“Apa yang penting ialah persepsi rakyat dan akar umbi Umno sendiri. Apabila timbul persoalan besar tanpa penjelasan meyakinkan, ia akhirnya menjadi krisis keyakinan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas surat didakwa daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang mendakwa Perikatan Nasional mengadakan perbincangan awal dengan Umno bagi menyingkirkan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Menurut surat itu, beberapa siri perbincangan membabitkan PAS, Bersatu dan Umno berlangsung sebelum 14 Adun BN menarik sokongan terhadap Aminuddin.
Surat itu turut mendakwa perbincangan berkenaan dihadiri Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias serta beberapa Adun parti itu.
Umno yang menaungi Barisan Nasional (BN) menang 14 kerusi pada PRN Negeri Sembilan 2023.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 4 Jun lalu untuk memberi laluan kepada PRN bagi memilih kerajaan baharu susulan tindakan Umno menarik baik sokongan.
Mazlan berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila Jalaluddin, yang dijangka mengetuai Umno Negeri Sembilan menghadapi PRN turut dikaitkan dengan dakwaan itu.
“Apabila ketua parti negeri sendiri menjadi bahan perdebatan politik, tumpuan rakyat tidak lagi kepada manifesto atau hala tuju parti, tetapi kepada kontroversi yang mengelilingi pemimpinnya,” katanya.
Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, Umno Negeri Sembilan berdepan cabaran lebih besar iaitu kekurangan tokoh yang mampu menjadi wajah utama parti di negeri.
Katanya, BN perlu mengetengahkan pemimpin muda sebagai ‘poster boy’ PRN seperti Johor yang mempunyai Onn Hafiz Ghazi jika mahu mencetuskan gelombang sokongan baharu.
“Negeri Sembilan ketika ini masih tercari-cari siapa wajah yang benar-benar boleh dijual kepada rakyat dan mampu menyatukan parti,” katanya.


