MB interim Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik, sebaliknya, tanggungjawab semua pihak yang perlu dilaksanakan dengan profesional demi manfaat dan kesenangan rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Menteri besar interim Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau sedia menghadiri pelancaran perkhidmatan KTM Komuter Selatan minggu depan susulan ‘pelawaan’ Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, namun belum menerima sebarang jemputan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata, beliau akan melapangkan jadual untuk hadir selepas dipelawa Loke menaiki komuter bersama dalam program itu pada Selasa.
“Saya menunggu surat jemputan rasmi dan butiran program. InsyaAllah, saya akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut,” katanya, menerusi hantaran di Facebook.
“Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor, bukan kerjasama politik. Jadi sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau keraguan.”
Sebelum ini, Loke yang juga setiausaha agung DAP dilaporkan mempelawa Onn Hafiz menaiki komuter bersamanya sempena pelancaran perkhidmatan KTM Komuter Selatan dari Kulai ke Johor Bahru pada Selasa.
Pelawaan itu dibuat dipercayai susulan kenyataan Onn Hafiz sebelum ini bahawa beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai undangan itu menerusi laporan media.
Beliau dengan sinis berkata, sekurang-kurangnya kerajaan negeri akhirnya ‘dijemput’ ke program yang menurutnya telah dirancang sejak lebih seminggu lalu.
Menteri besar itu mendakwa, beliau mahupun exco bertanggungjawab tidak diundang ke beberapa program kementerian lain, termasuk lawatan ke ETS Segamat pada Mac 2025 dan yang terbaru, lawatan kerja Loke ke tapak projek RTS Link pada April lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan Johor ‘bukan sekadar menerima’, malah turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif kerajaan persekutuan di negeri itu.
Ini termasuk RM700,000 yang disumbang bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut koc tren serta menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat dengan kos operasi sekitar RM86,000.
Onn Hafiz turut menegaskan bahawa projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik, sebaliknya, ia tanggungjawab semua pihak yang perlu dilaksanakan dengan profesional demi manfaat dan kesenangan rakyat.
Terdahulu kenyataan Onn Hafiz bahawa beliau lebih rela melepaskan jawatannya berbanding melibatkan DAP dalam kerajaan negeri, sekiranya Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat mentadbir Johor, mengundang kritikan pelbagai pihak.
Sebagai respons, Loke menggelar Onn Hafiz sebagai angkuh kerana ‘tak nak duduk semeja dengan DAP’, sedangkan setiap minggu, pengerusi BN sendiri, Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri bersama pemimpin DAP.
Onn Hafiz bagaimanapun menolak dakwaan pendiriannya itu berpunca daripada keangkuhan atau perkauman, sebaliknya menegaskan ia berasaskan prinsip dan penghormatan terhadap mandat diberikan pengundi kepada BN.

