Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata empat suspek berusia 30 hingga 34 tahun itu ditahan pada 7.30 petang Sabtu lalu susulan empat video tular memaparkan mangsa dipukul beberapa individu.
PETALING JAYA: Dua pasangan suami isteri direman sehari selepas video tular seorang pembantu rumah dipercayai menjadi mangsa penderaan di sebuah rumah di Taman Johor, Tampoi.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata empat suspek berusia 30 hingga 34 tahun itu ditahan pada 7.30 petang Sabtu lalu susulan empat video tular memaparkan mangsa dipukul beberapa individu.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku 26 Julai 2025 di sebuah rumah di Taman Johor, dengan dua suspek wanita terbabit merupakan adik beradik dan pasangan suami isteri berkenaan tinggal bersama.
Jelasnya, hasil semakan mendapati semua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mereka negatif dadah.
“Turut dirampas daripada suspek ialah telefon bimbit, pakaian suspek, sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan dua pasport milik wanita warga asing yang dipercayai pembantu rumah kepada salah satu pasangan itu,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPD Iskandar Puteri.
“Mangsa yang merupakan pembantu rumah warga Indonesia dipercayai sudah melarikan diri dan polis giat mengesannya,” katanya sambil menambah dua lagi wanita yang juga pembantu rumah suspek yang dipercayai pernah menjadi mangsa penderaan sedang dikesan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, semua pembantu rumah itu dalam lingkungan 20-an dan masih berada di Malaysia.
Katanya, pasangan suami isteri itu direman sehari di mahkamah Johor Bahru untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323, 354 dan 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport.
Video tular itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai majikan mangsa dilihat menampar dan menumbuk wanita terbabit, manakala tiga lagi individu turut memarahi serta memaki hamun mangsa.
Mangsa didakwa dipukul selepas dituduh mencederakan anak majikannya yang masih kecil, namun motif sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.


