Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata mangsa gangguan seksual boleh dapatkan bantuan tribunal walaupun mereka tidak pasti bagaimana untuk buat aduan secara rasmi. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN: Tribunal bagi Antigangguan Seksual yang ditubuhkan kerajaan pada 2024 setakat ini menerima jumlah aduan yang lebih rendah daripada jangkaan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.
Lim percaya keadaan itu menunjukkan ramai mangsa masih takut atau ragu-ragu untuk tampil membuat aduan, terutamanya disebabkan tahap kesedaran yang rendah serta stigma yang masih dikaitkan dengan kes-kes sedemikian.
“Kurang daripada 100 kes sejak 2024 sebenarnya agak rendah. Ramai mangsa gangguan seksual berasa malu dan takut untuk membuat aduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu program di sini.
Lim berkata mangsa gangguan seksual di tempat kerja selalunya enggan membuat aduan kerana bimbang ia boleh menjejaskan kerjaya mereka. Dalam sesetengah keadaan, mereka juga mungkin tidak menuntut pampasan, sebaliknya hanya mahukan permohonan maaf.
Bagaimanapun, beliau berkata kementeriannya sedang berusaha menggalakkan lebih ramai mangsa tampil melalui kempen kesedaran.
Menurutnya, mangsa boleh mendapatkan bantuan tribunal walaupun mereka tidak pasti bagaimana untuk mengemukakan aduan secara rasmi.
“Pihak tribunal akan membimbing anda dan menerangkan apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau menambah gangguan seksual tidak terhad kepada perbuatan fizikal semata-mata, malah turut merangkumi mesej, bahan visual, pandangan mata dan isyarat tubuh badan.
Lim berkata tribunal itu turut memperkenalkan sistem aduan dalam talian pada Januari lalu, manakala mangsa yang berada di luar Kuala Lumpur tidak perlu datang ke ibu negara untuk kes mereka didengar.
Kata beliau, tribunal mempunyai anggota panel di seluruh negara, selain pegawai yang boleh bergerak ke negeri-negeri lain bagi menjalankan prosiding pendengaran.
Tambahnya, tribunal juga menyasarkan penyelesaian kes dalam tempoh 60 hari selepas prosiding bermula, manakala mangsa kanak-kanak boleh memberikan keterangan dari bilik berasingan melalui siaran video tanpa perlu berhadapan secara terus dengan panel tribunal.
Tribunal bagi Antigangguan Seksual menerima sebanyak 99 aduan sehingga 7 Jun lalu sejak mula beroperasi pada 8 Mac 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, sebelum ini berkata sebanyak 80 aduan diselesaikan manakala 19 lagi masih dalam proses tindakan.


