Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, berkata Ketua Pengarah J-Kom Mohd Hisyamuddin Ghazali dinasihat tidak guna bahasa tidak sopan susulan kenyataan ‘Cina sesat’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohd Hisyamuddin Ghazali dinasihatkan tidak menggunakan bahasa tidak sopan dan mengelak kenyataan berbaur isu bangsa, agama dan raja (3R).
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, berkata amalan itu cukup diperlukan dan digalak diberi penekanan setiap masa.
“Saya rasa bahawa dia memang baru dilantik sahaja, tetapi nasihat saya adalah diharap janganlah guna pakai bahasa yang tak sopan dan kita elakkan isu-isu 3R bukan sahaja semasa kempen tetapi sepanjang masa.
“Saya percaya ini adalah satu amalan yang amat-amat diperlukan dan digalakkan,” katanya menurut Harian Metro, di Putrajaya.
Baru-baru ini, Hisyamuddin mengundang kontroversi sejak mengambil alih jawatan itu pada 8 Jun susulan ungkapan ‘Cina sesat’ digunakan terhadap ahli perniagaan Albert Tei dan pempengaruh media sosial, Eric See-To.
Tei mula dikenali umum sebagai individu yang mendakwa dirinya pemberi maklumat berhubung satu perjanjian perlombongan di Sabah, manakala See-To, bekas timbalan pengarah komunikasi Barisan Nasional (BN), merupakan individu di sebalik akaun media sosial Lim Sian See yang menyokong bekas perdana menteri, Najib Razak.
Kelmarin, Hisyamuddin turut dikritik Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Annuar Musa kerana mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman secara melampau dan tidak sepatutnya.
Annuar berkata, sebagai ketua pengarah J-Kom mesti menunjukkan teladan yang baik sebagai seorang penjawat awam.
“Beliau tidak sepatutnya menghina orang lain berdasarkan kaum mereka,” katanya yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia.


