Tiga persatuan perbankan berkata pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank di ATM atau SRM itu bertujuan memastikan akses kepada tunai kekal mudah selain membantu mengurangkan beban kewangan harian rakyat.
PETALING JAYA: Pelanggan semua bank di Malaysia tidak lagi dikenakan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin smart recycle (SRM) mulai 1 Julai depan.
Dalam kenyataan bersama, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) berkata pengecualian itu terpakai kepada semua ATM dan SRM yang dikendalikan bank di seluruh negara.
Menurut mereka, inisiatif itu membolehkan pemegang kad debit Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM tanpa mengira bank pengeluar kad, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.
“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, inklusif dan mampu milik,” menurut kenyataan itu.
Katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank itu bertujuan memastikan akses kepada tunai kekal mudah, dipercayai dan berpatutan, selain membantu mengurangkan beban kewangan harian rakyat.
Pada masa sama, industri perbankan berkata ia akan terus menggalakkan penggunaan bayaran digital dan tanpa tunai yang selamat, mudah serta lancar sebagai pilihan alternatif untuk transaksi harian.
Katanya, bank komited memberi kebebasan kepada pelanggan memilih kaedah pembayaran yang sesuai dengan keperluan masing-masing, di samping memperkukuh rangkuman kewangan dan pengalaman perbankan di Malaysia.

