Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata AirBorneo dalam proses peralihan selepas mengambil alih MASwings dan terdapat beberapa masalah kecil sepanjang proses itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Isu yang sedang dihadapi syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo, bersifat sementara dan akan diselesaikan oleh kerajaan negeri, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Abang Johari Openg.
Beliau berkata AirBorneo bertujuan memperkukuh peranan Sarawak dalam ekonomi Asean di samping meningkatkan akses perniagaan kepada pasaran serantau.
Abang Johari berkata kerajaan negeri sedang membangunkan secara proaktif model operasinya sendiri bagi syarikat penerbangan itu untuk memastikan ia dapat menyokong pertumbuhan perniagaan dan ekonomi dengan berkesan.
Katanya, walaupun terdapat cabaran sepanjang tempoh peralihan susulan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan negeri, syarikat penerbangan itu kekal sebagai pelaburan strategik.
“Kami masih dalam proses peralihan selepas mengambil alih MASwings. Terdapat beberapa masalah kecil sepanjang proses itu. Namun, ia pasti akan dapat diselesaikan.
“Kita perlu mempunyai model sendiri untuk mengendalikan syarikat penerbangan ini,” katanya seperti dipetik Dayak Daily di Kuching.
Awal bulan ini, AirBorneo berdepan kelewatan dan pembatalan penerbangan di seluruh Sarawak dan Sabah selepas beberapa pesawat tidak dapat beroperasi serentak akibat penyelenggaraan berjadual serta kelewatan penghantaran komponen alat ganti penting.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Aminuddin berkata syarikat penerbangan itu kini memberi tumpuan kepada pemulihan perkhidmatan yang boleh dipercayai serta memastikan pesawatnya memenuhi piawaian keselamatan dan kelayakan penerbangan.
Megat berkata AirBorneo turut melaksanakan langkah tambahan untuk memperkukuh daya tahan armada dan menyokong pemulihan berperingkat perkhidmatan ke tahap normal.


