Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau dimaklumkan bahawa surat setuju terima bagi projek ART bertingkat di Johor Bahru masih belum dikeluarkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyeru kerajaan persekutuan menyegerakan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bagi penyuraian trafik di Johor Bahru apabila projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link mula beroperasi 1 Jan 2027.
Beliau berkata, langkah jangka pendek dan sederhana sedang dilaksanakan ketika ini termasuk memperluas kemudahan ‘Park and Ride’, melaksanakan pengurusan trafik pintar serta menyusun semula pergerakan bas, teksi, dan e-panggilan di JB Sentral hanya penyelesaian sementara.
“Jadi Yang Berhormat Menteri, ada satu projek yang masih perlu kita berikan tumpuan dan segerakan, iaitu projek E-ART,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan disempurnakan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, di Stesen Keretapi Kulai.
Onn Hafiz berkata, projek E-ART telah pun dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet pada 2024, namun sehingga kini kerja fizikal belum dimulakan.
Katanya, rakyat Johor masih menantikan garis masa pelaksanaan lebih jelas, khususnya mengenai tarikh projek berkenaan akan dimulakan.
“Persoalannya sekarang, bila projek ini akan dimulakan…orang Johor tertanya-tanya, bilakah kita boleh melakukan lawatan tapak bersama-sama bagi projek ini.
“Setakat saya faham, ‘letter of award’ masih belum dikeluarkan. Sedangkan selepas kerja dimulakan sekalipun, projek ini dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata, keperluan mempercepat projek berkenaan semakin mendesak memandangkan RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar dengan Woodlands North dijadualkan mula beroperasi awal tahun hadapan.
ART merupakan sistem transit bandar tanpa landasan berkapasiti sederhana yang beroperasi menggunakan tayar getah.
Pada Mac lalu, Onn Hafiz berkata, sistem berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

