Tangkap layar video tular sebuah kereta terbabas sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan dan pagar di tepi Jalan Tun Razak. (Gambar Threads)
PETALING JAYA: Pemandu dipercayai menekan pedal minyak berlebihan menjadi punca kemalangan dua kereta di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan kira-kira 8 malam melibatkan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 29 tahun.
“Siasatan awal mendapati seorang pemandu yang dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Sultan Yahya Petra dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika memasuki simpang ke jalan berkenaan.
“Pemandu dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan sehingga gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebuah lagi kenderaan serta pagar di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan ke atas kedua-dua pemandu.
“Hasil ujian saringan alkohol ke atas pemandu berkenaan mendapati bacaan adalah sifar dan saringan air kencing juga didapati negatif,” katanya.
Zamzuri berkata, polis menjalankan lawatan ke lokasi kejadian, memohon rakaman CCTV, mengambil gambar kerosakan kenderaan serta merakam percakapan kedua-dua pemandu terbabit.
“Kes disiasat bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Malam tadi, tular video berdurasi 55 saat di media sosial memaparkan sebuah kereta terbabas sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan dan pagar di tepi Jalan Tun Razak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03 20719999 atau balai polis berhampiran.


