Bendahari Agung PAS Iskandar Samad membangkitkan persoalan sama ada pendirian Muhyiddin Yassin menunjukkan Bersatu memasuki pilihan raya untuk mengalahkan partinya atau Pakatan Harapan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS yakin penyokong Perikatan Nasional (PN) akan memilih parti itu jika berlaku pertembungan dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.
Bercakap kepada FMT, Bendahari Agung PAS Iskandar Samad berkata mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan krisis gabungan itu menyaksikan parti berkenaan menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
Ditanya tahap sokongan penyokong PN, Iskandar berkata: “Kita yakin mereka yang menyokong PN sebelum ini akan menyokong PAS jika bertembung dengan Bersatu pada sesuatu kerusi.”
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, parti itu bersedia menghadapi PAS di semua bahagian jika kedua-dua parti tidak lagi bekerjasama.
Iskandar turut membangkitkan persoalan sama ada pendirian Muhyiddin menunjukkan Bersatu memasuki pilihan raya untuk mengalahkan PAS atau Pakatan Harapan (PH).
“Nak kalahkan PAS atau PH? Apakah pendirian sebenar Bersatu?” soalnya sambil menyatakan keyakinan satu barisan pembangkang yang bersatu masih boleh dibentuk melalui PN.
“Lebih banyak parti akan menyertai PN seperti Pejuang dan Berjasa,” katanya.
Krisis dalaman PN bermula susulan isu peralihan jawatan menteri besar Perlis menyaksikan penamatan kerjasama dua parti itu dan kini melarat kepada usaha menyingkirkan Bersatu.
Minggu lalu, Presiden PAS Hadi Awang berkata partinya wajib memutuskan hubungan dengan Bersatu kerana parti itu telah menjadi terlalu ghairah mengejar kuasa dan tidak mengutamakan perpaduan Melayu-Islam.
Hadi turut mengesahkan kedudukan Bersatu dalam PN akan dibincangkan pada mesyuarat PAS malam ini, namun menjelaskan penyingkiran parti turut bergantung keputusan suara majoriti anggota komponen.
Selain PAS dan Bersatu, PN turut dianggotai Gerakan serta MIPP.
Semalam, Muhyiddin berkata parti itu kekal dalam PN dan akan bertanding atas lambang berkenaan pada pada pilihan raya selain mengingatkan hal penyingkiran memerlukan konsensus, bukan hanya sepihak.


