Mahkamah Tinggi mendapati SPRM tidak salah apabila meminta imigresen mengenakan sekatan perjalanan ke atas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, semasa ia menjalankan siasatan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Bersatu gagal membatalkan pembekuan ke atas dua akaun bank miliknya selepas Mahkamah Tinggi memutuskan parti itu gagal membuktikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyalahgunakan kuasa.
Hakim Aliza Sulaiman menyatakan Bersatu juga gagal menunjukkan tindakan SPRM menyalahi undang-undang, tidak wajar dari segi prosedur, tidak rasional, dilakukan dengan niat jahat, atau merupakan misfeasans dalam jawatan awam.
Beliau juga memutuskan SPRM tidak salah apabila meminta imigresen mengenakan sekatan perjalanan ke atas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, semasa siasatan dijalankan tiga tahun lalu.
“Walaupun benar perintah pembekuan dalam kes ini tidak mengandungi sebarang arahan bahawa Muhyiddin tidak boleh meninggalkan negara atau dibenarkan berbuat demikian, bukti menunjukkan SPRM telah merujuk kepada imigresen untuk meminta sekatan perjalanan dikenakan ke atas beliau.
“Saya menerima bahawa SPRM dibenarkan berbuat demikian bagi tujuan memastikan proses siasatan jenayah dapat dijalankan tanpa gangguan,” katanya.
Muhyiddin sedang menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM232.5 juta dan RM195 juta.
Pada 29 Mei 2023, Setiausaha Kerja Bersatu, Suhaimi Yahya, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pembekuan dua akaun parti tersebut.
Bersatu mendakwa akaun CIMB dan AmBank miliknya dibekukan pada April 2023 tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
BERITA LANJUT MENYUSUL


