Kamil Misuari berkahwin dengan Ahli Parlimen Santubong, Nancy Shukri, pada 1985.
PETALING JAYA: Kamil Misuari iaitu suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri telah kembali ke rahmatullah, hari ini.
Pejabat menteri memaklumkan ahli perniagaan asal Sabah itu meninggal dunia di Kuala Lumpur. Jenazah akan dibawa pulang ke Kuching, Sarawak esok.
Orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir di kediaman Nancy di Taman Serira, Jalan Menggeris, Petra Jaya esok, sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diletakkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” menurut kenyataan.
Kamil dan Nancy berkahwin pada 1985 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata: Faeroz, Farouk dan Bibi.


