Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di KM67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Chini, Pekan, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), doktor dan anaknya berusia dua tahun maut dalam kemalangan tiga kenderaan di KM67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Chini, Pekan.
Mangsa korban dalam nahas kira-kira 6 petang semalam ialah pegawai perubatan Hospital Segamat di Johor, Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, anaknya Dhea Sofia dan Ketua Penolong Pengarah LHDN Cawangan Cyberjaya, Azaharuddin Mohd Ali, 46.
Ketua Polis Pekan, Zaidi Mat Zin, berkata tiga penumpang kereta, dua penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pemandu pikap turut cedera dalam nahas itu.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku selepas pikap yang dipandu seorang lelaki 31 tahun cuba memotong sebuah lori.
Tetapi, beliau berkata, pikap itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan, sebelum bertembung dengan kereta dipandu doktor terbabit dan MPV dipandu Azaharuddin yang dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan MPV meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menurut Berita Harian.
Zaidi berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun pula disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Chini.
Jelasnya, tiga penumpang kereta yang cedera ialah isteri Zekry yang juga pegawai perubatan di Hospital Segamat, Dr Hana Ibrahim, 35, bapa serta ibunya berusia 72 dan 80 tahun.
Katanya, turut cedera ialah penumpang MPV yang juga isteri Azaharuddin, Fatimah Awing Kechik, 46, dan anaknya berusia 15 tahun, Aiman Faez Al-Amini.
Menurutnya, semua mangsa cedera sedang dirawat di Hospital Pekan, manakala jenazah mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

