Amira Aisya Abdul Aziz berkata Muda mahu golongan muda menentukan masa depan mereka.
KUALA LUMPUR: Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menyifatkan keupayaan partinya mempengaruhi pihak lain untuk mengetengahkan lebih ramai calon muda dalam pilihan raya sebagai satu kemenangan tersendiri.
Amira berkata, ketika Muda ditubuhkan, matlamatnya bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, tetapi juga mengubah landskap politik negara.
“Kami mahu golongan muda menentukan masa depan mereka sendiri. Dan apabila parti politik lain mula meletakkan lebih ramai calon muda dalam pilihan raya, ia kerana adanya Muda.
“Apabila parti ini menggantikan ‘dinosaur’ mereka dengan calon berusia 30-an atau 40-an, kami melihatnya sebagai satu kemenangan buat Muda,” katanya pada majlis kutipan dana bagi menghadapi PRN Johor, malam ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.
Muda dan PSM membentuk kerjasama politik dikenali sebagai ‘blok progresif’ bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal 7 Julai dan hari pengundian 11 Julai.
Daripada 1,386 calon yang bertanding pada PRU15, hanya 241 orang berusia bawah 40 tahun.
Seramai 443 calon atau 31.9% pula berusia antara 50 hingga 59 tahun, manakala 352 calon berumur lebih 60 tahun.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang bertanding di Langkawi, adalah calon tertua pada usia 97 tahun, manakala calon termuda Peggy Chaw, calon bebas berusia 23 tahun.


