Mahkamah Tinggi Seremban berkata kes itu pada asasnya melibatkan pertikaian sesama orang Islam berhubung hak penjagaan anak.
PETALING JAYA: Cubaan ibu bapa kandung beragama Islam menggunakan undang-undang persekutuan bagi mendapatkan semula anak mereka daripada jagaan dua individu Islam lain ditolak Mahkamah Tinggi Seremban, yang memutuskan perkara itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Hakim Roz Mawar Rozain berkata kanak-kanak itu dilahirkan daripada perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Islam.
“Tidak dipertikaikan bahawa semua pihak yang terlibat adalah orang Islam. Walaupun plaintif memohon perintah mendapatkan semula kanak-kanak itu di bawah Seksyen 53 Akta Kanak-Kanak 2001, mahkamah ini perlu melihat kepada inti pati sebenar permohonan tersebut.
“Ia pada asasnya merupakan pertikaian sesama orang Islam berkaitan hak penjagaan anak (hadanah).
“Berdasarkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadili perkara yang melibatkan undang-undang diri serta hak penjagaan orang Islam,” katanya dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan semalam.
Roz Mawar berkata pergantungan kepada Akta Kanak-Kanak itu merupakan satu cubaan untuk memintas forum agama yang sewajarnya serta prosedur yang ditetapkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan.
Dalam membuat keputusan itu, beliau merujuk secara meluas kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes N Viran v S Deepa dan Indira Gandhi v Ketua Polis Negara.
Beliau berkata kedua-dua kes tersebut melibatkan keadaan luar biasa yang membolehkan mahkamah sivil mengekalkan bidang kuasa kerana ia berpunca daripada perkahwinan sivil di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau melibatkan pihak bukan Islam.
Bagaimanapun, Roz Mawar berkata prinsip yang ditetapkan dalam kes Deepa dan Indira Gandhi tidak membantu plaintif kerana pertikaian semasa tidak melibatkan perkahwinan sivil, ibu atau bapa bukan Islam, mahupun penukaran agama secara unilateral.
Sehubungan itu, mahkamah enggan mempertimbangkan merit tuntutan plaintif atau isu berkaitan proses pengangkatan kanak-kanak yang masih belum dimuktamadkan dan menyatakan bahawa pihak-pihak terbabit bebas untuk mendapatkan remedi di Mahkamah Tinggi Syariah.
Roz Mawar turut memerintahkan plaintif membayar kos RM1,000 kepada defendan.
Peguam Jason Choo mewakili ibu bapa kandung, manakala Shafrin Halim mewakili dua defendan tersebut.

