Exco Kedah Haim Hilman Abdullah berkata beliau memberi kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan terus bersuara sehingga kebenaran ditegakkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Exco Kedah Haim Hilman Abdullah berkata beliau akan didakwa di mahkamah Seremban esok susulan dakwaan kontroversi berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam.
Haim yang juga Adun Jitra berkata beliau akan hadir ke Mahkamah Majistret Seremban esok pada 9 pagi bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dengan isu akses pendidikan tinggi yang beliau bangkitkan.
“InsyaAllah saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan terus bersuara sehingga kebenaran ditegakkan serta peluang pendidikan yang adil untuk anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa terbela,” katanya di Facebook.
Beliau sebelum ini menegaskan sedia ke mahkamah demi mempertahankan dakwaan berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam selepas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pertimbang tindakan perundangan.
Haim berkata, beliau menghormati hak KPT itu tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataan tersebut.
“Jika KPT memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, saya bersedia menjawabnya dengan data, fakta, dan bukti,” katanya.
KPT pada 15 Jun lalu memaklumkan sedang meneliti tindakan perundangan terhadap Haim berhubung kenyataannya dibuat menerusi rakaman video yang disiarkan di Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ pada 13 Jun lalu.
Menurutnya, Haim turut mendakwa wujud puluhan ribu pelajar memasuki institusi pendidikan tinggi awam melalui ‘pintu belakang’.
Beliau turut mendakwa kononnya universiti awam kini ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’.
Kementerian itu berkata, tuduhan berkenaan adalah tidak berasas, berniat jahat, dan boleh menjejaskan reputasi serta kredibiliti institusi pendidikan tinggi awam negara.


