Mangsa ke laut bersama tekong serta dua lagi rakan untuk menangkap ikan kira-kira 6 petang Rabu lalu dan ditemui lemas dekat Pulau Betong semalam. (Gambar fail)
GEORGE TOWN: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot di perairan berhampiran Pulau Kendi, Batu Maung, dekat sini sejak Rabu lalu ditemui lemas dekat Pulau Betong.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata mayat mangsa ditemui pada 2.30 petang Jumaat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada 7.15 malam selepas mangsa ditemui oleh komuniti nelayan,” katanya kepada Bernama malam tadi.
Terdahulu, Ketua Polis Barat Daya, Anuwal Ab Wahab dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Tang Chin Khoon, 51, pada 8.53 pagi Khamis.
Mangsa ke laut bersama tekong dan dua lagi rakan untuk menangkap ikan kira-kira 6 petang Rabu lalu dan ketika dalam perjalanan pulang sekitar 10 malam, pengemudi bot menyedari mangsa tiada atas bot dan dipercayai terjatuh ke laut berhampiran Pulau Kendi.

