Pengerusi Barisan Nasional Johor Onn Hafiz Ghazi berkata gabungan itu akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan sokongan rakyat. (Gambar Bernama)
SIMPANG RENGGAM: Semua parti serta calon diminta berkempen secara harmoni, tertib dan beradab sepanjang PRN Johor selama dua minggu.
Pengerusi Barisan Nasional Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang bertanding di DUN Machap turut mendoakan yang terbaik kepada semua calon.
“Proses pencalonan hari ini berjalan dengan baik dan lancar. Saya juga menerima laporan keadaan di DUN lain turut berjalan dengan baik dan lancar.
“Kita doakan momentum ini dapat diteruskan sehingga hari pengundian pada 11 Julai nanti,” katanya selepas proses penamaan calon di Majlis Daerah Simpang Renggam.
Mengulas peluangnya di DUN Machap, beliau berkata, BN akan terus bekerja keras bagi meraih sokongan rakyat.
“Dalam pilihan raya ini apa-apa boleh berlaku. Jadi, kita akan berjuang habis-habisan untuk mendapat undi daripada rakyat,” katanya yang berdepan saingan Nur Hafiz Roslan daripada Pakatan Harapan.
Hafiz, 41, berkata pihaknya akan membentangkan manifesto untuk pembangunan rakyat.
“Kami juga cukup yakin dan percaya sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat bekerjasama dengan baik, maka Johor akan lebih maju bersama PH,” kata exco Pemuda Amanah itu.
Pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz memenangi kerusi Machap dengan majoriti 6,543 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Azlisham Azahar, R Sangaran (Muda) dan Sharuddin Md Salleh (Pejuang).

