Onn Hafiz Ghazi berkata dalam konteks pilihan raya debat terbuka bukan perkara yang sesuai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Onn Hafiz Ghazi berkata debat terbuka antara calon PRN Johor bukan pendekatan sesuai kerana dikhuatiri mencetuskan suasana tidak harmoni sepanjang tempoh berkempen.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, budaya politik di negeri itu selama ini lebih mengutamakan adab, keharmonian dan perbahasan secara tertib berbanding bertikam lidah di pentas terbuka.
Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi perjalanan persidangan DUN Johor yang sentiasa berlangsung dalam suasana terkawal serta saling menghormati.
“Saya lihat cara kita di Johor bukanlah dengan bertikam lidah atau berdebat secara terbuka. Kalau kita tengok sidang DUN pun, keadaannya tidak begitu. Ia harmoni, tertib dan menjaga adab.
“Kadang-kadang apabila diadakan debat terbuka, ia mengundang pasukan serta penyokong yang lebih emosional daripada individu yang berdebat itu sendiri.
“Jadi, bagi saya, kita tiada masalah, cuma dalam konteks pilihan raya ini, debat terbuka bukan perkara yang sesuai,” katanya menurut Buletin TV3.
Beliau ditemui dalam program Hari Keluarga Penjara di Kampung Paya Mas, Simpang Renggam, hari ini.
Pada 23 Jun lalu calon Pakatan Harapan (PH) DUN Puteri Wangsa, Maszlee Malik, menerima cadangan debat antaranya dengan Onn Hafiz.
Debat itu dicadangkan sebuah halaman Facebook, WOW Malaysia.
Maszlee berharap debat itu menjadi wahana untuk mendidik rakyat dan menjulang budaya politik matang.
PH dan BN akan bertembung di semua 56 kerusi pada PRN 11 Julai.

