Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan sekatan perjalanan yang dikenakan Kastam terhadap tiga bekas pengarah syarikat sebagai tidak sah, tidak munasabah dan melanggar prinsip keadilan asasi.
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi membatalkan sekatan perjalanan selama tujuh tahun yang dikenakan Jabatan Kastam terhadap tiga bekas pengarah syarikat berhubung dakwaan tunggakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), selepas memutuskan tindakan itu tidak sah dan tidak mempunyai asas undang-undang mencukupi.
Dalam membenarkan permohonan semakan kehakiman mereka, Hakim Evawani Farisyta Mohammad memutuskan sekatan perjalanan itu tidak sah, tidak munasabah dan melanggar prinsip keadilan asasi.
Jabatan Kastam mengekalkan sekatan berkenaan selama kira-kira tujuh tahun atas alasan bekas pengarah itu bertanggungjawab terhadap dakwaan liabiliti GST syarikat terbabit.
Ketika menyampaikan alasan penghakiman secara lisan, Evawani berkata Seksyen 49 Akta GST 2014 yang kini sudah dimansuhkan tidak memberi kuasa kepada jabatan itu untuk mengenakan sekatan perjalanan secara automatik hanya kerana terdapat dakwaan cukai tertunggak.
Sebaliknya, katanya, jabatan itu perlu terlebih dahulu membuktikan terdapat alasan munasabah, disokong bukti, bahawa individu terbabit akan atau berkemungkinan meninggalkan Malaysia tanpa membayar cukai berkenaan. Hakim mendapati tiada bukti menunjukkan tiga pemohon itu berisiko melarikan diri.
Beliau mengambil kira mereka mempunyai kediaman tetap, keluarga dan perniagaan di Malaysia, selain terus berurusan dengan Jabatan Kastam sepanjang pertikaian itu.
Beliau turut mendapati pemohon pernah ke luar negara dan kembali ke Malaysia selepas mendapat perintah interim mahkamah, satu tindakan yang tidak menunjukkan niat untuk mengelak dakwaan liabiliti cukai tersebut.
Jabatan Kastam berhujah sekatan perjalanan itu wajar dikenakan kerana syarikat berkenaan mempunyai hutang GST.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, jabatan itu mendakwa pemohon masih menjadi pengarah dalam tempoh berkaitan dan oleh itu boleh dipertanggungjawabkan terhadap kewajipan cukai syarikat.
Bagaimanapun, bekas pengarah itu berkata mereka sudah tidak lagi terbabit dalam pengurusan dan operasi syarikat selepas penjualan saham pada Ogos 2016, sebelum liabiliti GST itu timbul.
Menerima hujah itu, hakim memutuskan pemohon sudah meletakkan jawatan sebagai pengarah pada Ogos 2016 dan tidak lagi berada dalam lembaga pengarah apabila liabiliti cukai berkenaan timbul pada 13 Jun 2017, iaitu ketika invois berkaitan dikeluarkan.
Beliau turut menyatakan bahawa bil tuntutan Jabatan Kastam itu berkaitan tempoh bercukai yang lebih lewat.
Mahkamah memerintahkan Jabatan Kastam membayar kos RM10,000 kepada pemohon.
Peguam Jeff Sum dan Tan Wen Ying daripada Tetuan Wong & Partners mewakili pemohon, manakala Peguam Persekutuan Dzaqiff Shauqi Mohammad Agus mewakili Jabatan Kastam.

