Anwar Ibrahim berkata negeri ditadbir PN iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis menerima lebih banyak peruntukan persekutuan, terutama bagi program membasmi kemiskinan dan menaik taraf infrastruktur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Kebanyakan negeri menerima peruntukan persekutuan lebih tinggi daripada jumlah hasil cukai yang disalurkan kepada kerajaan pusat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga menteri kewangan menolak dakwaan bahawa ada negeri dipinggirkan dari segi peruntukan kerajaan persekutuan.
Beliau berkata hanya Selangor dan Pulau Pinang menerima peruntukan lebih rendah berbanding jumlah hasil yang disumbangkan kepada perbendaharaan negara.
Bagi Selangor, katanya, negeri itu menerima RM15 bilion setahun dari 2023 hingga 2025, walaupun menyumbang purata RM43.6 bilion hasil cukai dalam tempoh sama.
Pulau Pinang pula, katanya, menyumbang RM10.7 bilion dari 2023 hingga 2025, tetapi hanya menerima RM7.9 bilion.
Beliau berkata perkara itu membuktikan dakwaan bahawa negeri ditadbir DAP itu menerima lebih banyak peruntukan daripada Putrajaya adalah tidak benar.
Sebaliknya, Anwar berkata negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis menerima peruntukan lebih tinggi daripada kerajaan persekutuan, terutama bagi inisiatif membasmi kemiskinan dan menaik taraf infrastruktur.
Katanya, semua negeri turut menerima kenaikan bagi Pemberian Pemindahan Fiskal Ekologi dan pemberian berdasarkan bilangan penduduk.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa kerajaan Madani memberikan peruntukan tertinggi kepada negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan berbanding kerajaan sebelum ini.
Perbelanjaan persekutuan kepada negeri pada 2022 dan 2026. (Gambar PMO)
“Oleh itu, saya harap penjelasan ini dapat menghentikan tuduhan dan fitnah tidak berasas,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Anwar menjawab soalan Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman), yang meminta perdana menteri menjelaskan dakwaan bahawa peruntukan persekutuan kepada negeri tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip.
Minggu lalu, Anwar berkata Johor menyumbang purata RM14 bilion setahun kepada kerajaan persekutuan antara 2023 hingga 2025.
Bagaimanapun, katanya, Putrajaya menyalurkan semula purata RM16 bilion setahun kepada Johor melalui pelbagai projek pembangunan, peruntukan operasi dan program berkaitan.
Sebagai perbandingan, Anwar berkata Johor menerima kira-kira RM6 bilion hingga RM7 bilion setahun bagi perbelanjaan mengurus ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
Jumlah itu meningkat kepada RM8.7 bilion di bawah kerajaan Madani.


