Skim diesel bersubsidi turut diperluas kepada kira-kira 70,000 kenderaan komersial di Sabah dan Sarawak selain pengusaha bot sungai serta pemilik genset di pedalaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ketidaktentuan global yang menekan bekalan minyak memberi alasan lebih kuat untuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung berkongsi tanggungjawab memastikan bekalan bahan api sedia ada dapat bertahan lebih lama, kata penganalisis.
Walaupun aliran minyak melalui Selat Hormuz mula pulih, penghantaran dari Asia Barat masih belum kembali sepenuhnya ke paras sebelum konflik, menyebabkan risiko bekalan dan harga kekal tidak menentu.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, konflik di Asia Barat memberi tekanan kepada negara dari segi bekalan bahan api, menjadikan subsidi pukal yang berpanjangan tidak lagi mampan.
Katanya, penyasaran subsidi perlu dilihat sebagai ujian solidariti nasional dan ‘federalisme matang’, bukan semata-mata perubahan harga bahan api.
Awang Azman Pawi.
“Penyasaran subsidi diesel menyentuh kemampuan pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk berkongsi tanggungjawab dalam melaksanakan keputusan tidak popular tetapi dianggap perlu bagi memastikan bekalan sedia ada bertahan lebih lama, melindungi kewangan negara dan mengurangkan ketirisan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, penyertaan Sabah dan Sarawak tidak wajar digambarkan sebagai kedua-dua negeri dipaksa mengikuti model Semenanjung.
Sebaliknya, ia menunjukkan kesediaan kerajaan wilayah bekerjasama dengan Putrajaya menangani isu nasional ketika sumber negara perlu dilindungi daripada krisis bekalan, penyeludupan dan penyalahgunaan.
Namun, Awang Azman berkata kerjasama itu perlu bergerak dalam dua arah.
“Solidariti tersebut bukan bererti menyerahkan kepentingan negeri kepada pusat. Ia mestilah berasaskan rundingan, data dan pengiktirafan terhadap keperluan khusus wilayah,” katanya.
Mulai 1 Julai, penerima layak akan memperoleh kuota asas sehingga 200 liter diesel sebulan pada harga RM2.10 seliter melalui MyKad, manakala pemilik pikap dan jip tertentu boleh memohon tambahan 100 liter.
Skim diesel bersubsidi turut diperluas kepada kira-kira 70,000 kenderaan komersial di Sabah dan Sarawak, selain pengusaha bot sungai serta pemilik genset di pedalaman.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Masidi Manjun, dilaporkan berkata kerajaan persekutuan mengambil kira faktor geografi, sosioekonomi, corak penggunaan dan kebergantungan penduduk luar bandar terhadap kenderaan pacuan empat roda.
Masidi turut berkata, mekanisme itu terbuka kepada penyesuaian jika keadaan khusus Sabah memerlukannya.
Tony Paridi Bagang.
Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara berkata sokongan kerajaan Sabah dan Sarawak mencerminkan komitmen terhadap usaha nasional menangani ketirisan.
Katanya, sokongan itu tercapai melalui perundingan, pertimbangan kepentingan dan hak negeri serta penyesuaian dasar.
Menurutnya, kerajaan negeri masih perlu memantau kesan terhadap masyarakat luar bandar dan pedalaman serta mendapatkan penambahbaikan jika timbul masalah selepas pelaksanaan.
Awang Azman berkata, matlamat nasional boleh dikongsi tanpa mengenakan kaedah seragam kepada semua wilayah.
Katanya, solidariti sebenar tercapai apabila Sabah, Sarawak dan Semenanjung bersama mengurus tekanan negara, sementara Putrajaya terus mendengar dan menyesuaikan pelaksanaan mengikut keperluan setempat.
“Rakyat lebih mudah menerima keputusan sukar sekiranya pemimpin dapat menunjukkan manfaat, perlindungan dan hasil rundingan yang nyata,” katanya.

