Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata pelan induk itu pada asalnya disasar untuk diumumkan pada hujung 2025. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi mendakwa kerajaan persekutuan berulang kali menangguhkan pelancaran Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Katanya, pelan itu sudah siap dan sepatutnya diumumkan segera bagi memastikan momentum baik ekonomi Johor dapat diteruskan.
“Pelan tersebut pada asalnya disasarkan untuk diumumkan pada penghujung tahun 2025. Selepas itu, tarikh 30 Mac 2026 pula diumumkan. Kini, ia ditangguhkan sekali lagi,” katanya dalam hantaran di X.
JS-SEZ adalah inisiatif ekonomi rentas sempadan utama antara Johor dan Singapura yang bertujuan meningkatkan pelaburan, integrasi ekonomi serta pembangunan bernilai tinggi di selatan Johor.
Ia merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, dan Desaru – dengan keluasan tanah 357,128 hektar.


