Bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, berkata mengundi gabungan lain pada PRU akan datang mengundang risiko meranapkan kemajuan dicapai sepanjang empat tahun lalu.
SUBANG JAYA: Kerjasama yang semakin mekar antara Barisan Nasional (BN) dan PAS seperti disaksikan di Johor mampu meranapkan segala usaha murni kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) musnah selepas PRU akan datang, kata Tony Pua daripada DAP.
Beliau berkata, pengundi pada PRU16 perlu memilih antara ‘Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, atau lebih teruk lagi, Hadi Awang’, merujuk kepada pemimpin PH, BN, dan PAS sebagai calon perdana menteri.
“Itulah pilihan yang kita ada,” katanya.
Pua berkata, ‘sangat penting’ untuk pengundi sedar mengenai kerjasama PAS dan BN, di mana dua parti itu sedang berusaha menyingkirkan PH pada PRN Johor.
BN dan PH bersaing sesama sendiri di semua 56 kerusi pada PRN Johor, manakala PAS bertanding 11 kerusi selain menyeru penyokongnya mengundi BN, di kerusi tidak ditandingi parti itu.
Pua berkata, pengundi pada PRU akan datang mesti memastikan PH diberi satu penggal lagi dalam kerajaan, kerana mengundi gabungan lain akan mengundang risiko meranapkan kemajuan telah dicapai sepanjang empat tahun lalu.
“Apa yang kita tidak mahu buat adalah menumbangkan satu kerajaan yang telah banyak berbakti dan memilih kerajaan lain yang akan menterbalikkan semua pencapaian sepanjang tiga atau empat tahun lalu,” katanya pada majlis makan malam kutipan dana DAP Subang Jaya.
Beliau berkata, Malaysia secara konsisten mencatatkan kadar pertumbuhan melebihi 5% meskipun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global, terus menarik pelaburan asing, termasuk kemasukan lebih ramai pelancong, manakala nilai ringgit pula semakin mengukuh.
Pua, bekas Ahli Parlimen Damansara yang pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng, berkata pencapaian tersebut menjadi tanda negara berada ‘di landasan tepat’ dengan kerajaan perpaduan pimpinan PH harus diberikan satu lagi peluang meneruskannya.
Kerajaan persekutuan ketika ini dibentuk gabungan terdiri PH, BN, dan parti di Malaysia Timur, sambil Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Blok pembangkang pula dibentuk PAS, Bersatu, dan lain-lain.


