Bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata senarai 54 syarikat yang dilantik secara rundingan terus itu diseraikan oleh Pejabat Perdana Menteri bukannya Kementerian Kewangan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Muhyiddin Yassin mengeluarkan surat mencadangkan pelantikan 54 kontraktor bagi melaksanakan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.
Tengku Zafrul berkata surat bertajuk Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan 54 Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina) itu bertarikh 13 Nov 2020.
Katanya, surat itu dikeluarkan pada hari yang sama Memorandum Jemaah Menteri Pelan Tindakan Perolehan Kerajaan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Saya sahkan tarikh surat ini sama dengan tarikh Mesyuarat Jemaah Menteri di mana Memorandum Jemaah Menteri Pelan Tindakan Perolehan Kerajaan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Saksi pendakwaan ke-11 itu turut mengesahkan surat berkenaan dikeluarkan oleh Muhyiddin yang ketika itu perdana menteri kerana dokumen tersebut mengandungi tandatangan beliau pada muka surat ketiga, selain arahan supaya Kementerian Kewangan segera mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan.
“Saya mengenali tandatangan ini adalah milik beliau kerana saya biasa menerima minit dan surat daripada Muhyiddin. Sekiranya saya tidak menerima surat bertarikh 13 Nov itu, saya tidak akan mengambil tindakan susulan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata surat bertarikh 13 Nov itu adalah surat cadangan dikeluarkan Muhyiddin kepada beliau untuk melantik 54 syarikat secara rundingan terus bagi melaksanakan projek-projek yang telah ditentukan.
Beliau berkata pelantikan secara rundingan terus bermaksud projek dianugerahkan terus kepada syarikat yang disenaraikan tanpa melalui proses tender dan persaingan tawaran harga dalam kalangan kontraktor lain.
“Berkenaan senarai 54 syarikat berserta agihan projek dalam surat ini, saya tidak tahu bagaimana Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat penilaian terhadap syarikat dan pemilihan projek untuk setiap syarikat.
“Saya juga sahkan syarikat-syarikat dalam dokumen ini disenaraikan oleh PMO dan bukannya daripada saya dan juga Kementerian Kewangan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata beliau juga tidak mengetahui sama ada syarikat yang disenaraikan itu mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dengan Muhyiddin kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepadanya.


