Mayat pelajar Tingkatan Empat, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, ditemui dalam tandas di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, Kelantan, pada 14 Dis 2013. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tahfiz ditemui meninggal dunia dalam tandas asrama pada 2013 akur keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ibu, Ruhani Hussin, berkata pihaknya menghormati keputusan itu walaupun sekian lama menanti demi mendapatkan keadilan.
“Kami akur dan menghormati keputusan AGC yang mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA selepas hasil siasatan tidak menemui mana-mana individu yang boleh dipertanggungjawabkan atas kematian Allahyarham.
“Walaupun siasatan forensik sudah mengenal pasti terdapat tompokan darah daripada DNA individu lain pada pakaian Allahyarham, pihak berkuasa memutuskan bahawa penemuan berkenaan tidak mencukupi untuk mengenal pasti pelaku atau membuktikan penglibatan mana-mana individu dalam menyebabkan kematian Allahyarham,” katanya menurut Harian Metro.
Ruhani turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan peguam yang memberikan khidmat guaman, nasihat serta komitmen tinggi dalam membantu keluarga sepanjang proses.
“Semoga Allah mengampuni, mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Wan Ahmad Faris dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris ketika itu pelajar Tingkatan Empat ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.
Pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut yang tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.
Namun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Wan Ahmad Faris disebabkan tindakan individu tidak dikenal pasti.
Pada Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz tersebut.

