Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed al-Ansari berkata tindakan menyasarkan kapalnya ketika melalui Selat Hormuz merupakan ‘serangan yang tidak boleh diterima terhadap keselamatan dan navigasi maritim antarabangsa’. (Gambar AFP)
ISTANBUL: Qatar menggesa Iran menghentikan serta-merta tindakan mengancam keselamatan maritim dan bekalan tenaga global, selepas Tehran menyerang sebuah kapal miliknya berhampiran Selat Hormuz pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap Kementerian Luar, Majed al-Ansari, menerusi kenyataan di X berkata, tindakan menyasarkan kapal pengangkut gas asli cecair milik Qatar, Al-Rekayyat, ketika melalui laluan strategik itu merupakan “serangan yang tidak boleh diterima terhadap keselamatan dan navigasi maritim antarabangsa”.
Tegasnya, serangan itu turut mengancam bekalan tenaga global serta “melanggar undang-undang antarabangsa secara nyata dan serius”, khasnya peraturan yang menjamin kebebasan navigasi dan laluan selamat merentasi perairan antarabangsa.
“Kami menuntut Republik Islam Iran menghentikan serta-merta semua tindakan yang menjejaskan keselamatan wilayah atau mengancam keselamatan navigasi maritim antarabangsa dan mengelak daripada membahayakan bekalan tenaga global serta sumber negara di rantau ini untuk kepentingan sempit mereka.”
Beliau berkata, Qatar meletakkan “tanggungjawab undang-undang sepenuhnya” ke atas Iran berhubung serangan itu serta sebarang kerosakan dan kesan yang timbul daripada perbuatannya.
Al-Rekayyat dilaporkan antara dua kapal komersial terkena peluru berpandu Iran berhampiran Selat Hormuz pada lewat Isnin, yang menyebabkan kerosakan besar, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penyiar rasmi Iran, IRIB yang memetik sumber mendakwa kapal tangki Qatar itu cuba melalui laluan Oman di Selat Hormuz dengan sokongan Tentera Laut Amerika Syarikat dan disasarkan selepas mengabaikan amaran berulang kali daripada tentera Iran.
Selat Hormuz antara laluan sempit tenaga paling penting di dunia, yang mengendalikan sebahagian besar eksport minyak global dan gas asli cecair daripada pengeluar di rantau Teluk.

