Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahamd Fadhli Shaari berkata beliau sedia berdebat dengan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin di mana-mana platform yang sudi jadi penganjur.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahamd Fadhli Shaari mencabar Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berdebat di luar Dewan Rakyat berkaitan isu pencerobohan tanah Orang Asli, jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak dan jangkitan HIV di Kelantan.
Fadhli membuat cabaran itu selepas tidak berpuas hati kerana tidak diberi peluang menjawab dakwaan dibangkitkan Chong ketika membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2024 di Dewan Rakyat.
“Saya ajak Chong berdebat di luar Parlimen di mana-mana platform, sama ada Astro Awani, Sinar Harian atau mana-mana pihak yang sudi menjadi penganjur.
“Kalau tidak sahut (cabaran) ini, dianggap agak pengecut dan tidak berani,” kata Fadhli semasa mencelah dalam perbahasan tersebut.
Fadhli turut membidas tindakan Chong yang menurutnya menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Kelantan tanpa memberi ruang kepadanya untuk membuat penjelasan.
Beliau berkata isu-isu hak asasi dan moral merupakan isu nasional yang tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memburukkan atau menghina mana-mana negeri.
“Kalau benar mahu membincangkan isu ini, bahaskan secara terbuka. Jangan gunakan ruang Parlimen untuk menyerang Kelantan tetapi apabila saya bangun hendak menjawab, tidak diberikan laluan,” katanya.
Terdahulu, Chong dalam perbahasannya membangkitkan beberapa perkara seperti pencerobohan tanah Orang Asli di Kelantan yang tidak selesai dan isu peratusan kes jangkitan HIV yang meningkat di negeri itu.